Kejadian 29 April lalu telah menimbulkan ketidakpuasan hati warga universiti terbabit sehingga seorang wakil pelajar tampil di Melodi dan akhbar B*Pop untuk menceritakan hal sebenar.
“Saya tak layan isu ini. Saya memang bergurau dengan orang macam itu. Saya pernah tulis lagi teruk dari itu. Kalau tak suka, cakap. Saya boleh tulis yang lain,” ujar Noh ketika ditemui di sesi rakaman Muzik-Muzik baru-baru ini.
Bagi vokalis kumpulan Hujan ini, dia menganggap apa yang berlaku sebagai satu isu kecil yang tidak perlu diperbesar-besarkan.
“Saya bergurau je. Kelab peminat Hujan sendiri, Raingers pun gelak bila dengar isu ini. Orang dah tahu Noh macam mana. Noh nak buat peminat serapat yang boleh dengan Noh. Saya nak orang selesa dengan saya. Itu cara saya. Silap saya buat macam itu dekat orang yang salah.”
Difahamkan, Noh telah dijemput oleh warga universiti terbabit untuk menghadiri satu ‘screening’ yang turut dihadiri tokoh perfileman negara, Senator Tan Sri Dr. Jins Samsudin, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Datuk Yusof Haslam dan Dato' Siti Nurhaliza.
Selain menulis ‘Awak Busuk’ ketika sesi tandatangan, pelajar berkenaan turut memberitahu Noh telah menyebut "Girls kat sini tak cantik, tak cun" pada hari kejadian. Ekoran perbuatan Noh yang dianggap biadap dan keterlaluan itu, warga kampus terasa terhina dan meminta Noh tampil memohon maaf secara terbuka kepada mereka.
“Saya boleh minta maaf tapi itupun sebelum dia keluar dekat televisyen. Perkara ini boleh dibawa berbincang. Dah buat komen macam itu, tak kan saya nak minta maaf.
“Jika mereka datang jumpa Noh, Noh akan minta maaf, tapi mereka tak datang sendiri jumpa Noh,” tegasnya yang nekad tidak akan meminta maaf kepada pelajar kampus terbabit.
“Lebih baik saya buat kerja kat studio dari layan benda macam ni. Saya buat kerja saya je. Biarlah orang menilai saya. Ada masa kita boleh balas, ada masa tak payah. Saya bukan ahli politik yang nak memenangi hati orang, saya hanya ahli muzik yang nak main muzik.’
Terkilan dengan media
Apabila ditanya apa komen Noh mengenai pelajar kampus terbabit yang tampil ke media untuk bercakap mengenai isu ini, Noh menjawab, “Tak sangka ada peminat yang anggap diri mereka macam ‘rock star’, nak dilayan macam VIP.
"Bagi Noh, orang yang nak dilayan sebegitu hanya nak publisiti murahan. Selamat berjaya kerana awak dah glamor masuk televisyen. Benda itu akan makan diri dia balik satu hari nanti.”
Kelakuan Noh yang dianggap ‘gila-gila’ ini sedikit sebanyak telah menjejaskan nama band Hujan sendiri. Salah seorang ahli kumpulan, AG memberitahu mereka memang sudah kenal dan biasa dengan perangai Noh.
“Siapa tak kenal Noh macam tu. Cara dia memang macam tu bila nak kawan dengan orang. Dari dulu lagi dalam band perangai dia memang macam tu. Kami tak nak masuk campur. Benda ini biarlah dia sendiri yang fikir.”
Noh turut melahirkan rasa terkilan kerana ada media yang mengeluarkan cerita ini tanpa bertanyakan hal sebenar kepadanya terlebih dahulu.
“Ada media yang dah keluarkan cerita ini dan hentam saya tanpa tanya saya terlebih dahulu. Itu yang Noh malas nak bagi komen. Dari dulu Noh dah perasan, orang yang bercakap pasal Hujan, mereka tak kenal Noh.
“Lebih baik saya jadi diri saya sendiri. Dengan apa yang berlaku, saya akan lebih berhati-hati selepas ini. Apa yang boleh saya katakan, tanpa peminat siapalah Noh,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tulis perkataan ‘Awak busuk’ sebagai ganti tanda tangan autograf dianggap menghina pelajar universiti
SEORANG gadis remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Zee, 20, tampil membuat pengakuan kepada B*Pop mendakwa artikel atau gosip yang disiarkan menerusi akhbar ini berjudul ‘Vokalis kumpulan indie biadab, hina warga universiti’ terbitan 16 Mei lalu sebagai satu cerita benar. Malah, tanpa berselindung dan penuh yakin, dia menamakan penyanyi yang dimaksudkan itu sebagai Noh iaitu vokalis band popular ketika ini, Hujan.
“Sepatutnya Noh menulis namanya atau menurunkan tanda tangan jika peminat meminta autograf, bukan tulis ‘Awak Busuk’! Mungkin ini adalah autograf terbaik daripadanya! Saya harap artis lain tidak mencontohi sikap Noh Hujan,” kata Zee penuh kesal.
Pihak fakulti menganjurkan majlis berkenaan untuk memberi anugerah kepada pelajar berdasarkan pencapaian hasil kerja kursus mereka. Selain Noh, artis atau selebriti lain yang turut dijemput ialah tokoh perfileman negara, Senator Tan Sri Dr Jins Samsudin; Datin Paduka Shuhaimi Baba; Datuk Yusof Haslam dan Datuk Siti Nurhaliza.
Namun, menurut Zee, semua tetamu sedia memberikan kerjasama kepada pelajar sekalipun tidak menerima sebarang bayaran. Mereka tidak keberatan bergambar, menandatangani autograf dan menghadiri jamuan ringan, kecuali sikap ego Noh yang mengundang perasaan tidak senang di kalangan penuntut universiti berkenaan.
“Bagi saya, antara Noh dan Siti Nurhaliza memang jauh beza, antara langit dengan bumi, tapi kenapa Siti boleh melayan kami dengan amat baik? Siti sentiasa tersenyum dan melayan kerenah kami untuk bergambar, menandatangani autograf dan tidak meninggalkan majlis, tapi Noh berkelakuan sebaliknya. Dia terus meninggalkan majlis begitu saja tanpa pengetahuan kami!
“Seperti dilaporkan B*Pop tempoh hari, Noh turut menyebut sebaris ayat - ‘girls kat sini tak cantik, tak cun!’. Saya sendiri yang mendengar kata-katanya itu. Bagi kami, kata-kata Noh kasar dan keterlaluan untuk diterima. Kenapa dia perlu berkata begitu? Sekiranya Noh bergurau, perlulah kena pada tempatnya.
“Kata-katanya itu dilontarkan secara terbuka di khalayak ramai. Kami rasa terhina! Jika Noh beranggapan dirinya bintang rock yang hebat, mungkin ya... sebab kami sebagai pelajar, remaja, memang minat band indie. Namun, selepas kami dihina, apa gunanya kami terus menyokong atau meminati artis seperti dia?
“Selain menulis ‘Awak Busuk’ yang dianggap menghina pelajar wanita, Noh juga menggunakan Artline yang diberikan untuk menconteng papan kenyataan di universiti kami. Namun, kami sudah pun memadamkan kesan contengan itu,” kata Zee yang ternyata kecewa.
Selepas diperlakukan begitu, Zee mewakili teman sekampus mengakui amat kecewa dengan sikap tidak sopan Noh terhadap mereka. Katanya lagi, Noh tidak menghargai jemputan daripada peminat yang mengagumi lagu-lagunya bersama Hujan.
“Saya tak cakap saya cantik, tapi ciptaan Tuhan, nak buat macam mana? Noh pun bukannya handsome sangat! Tapi, apabila kami meminatinya, dia juga perlu menghormati peminatnya. Kenapa bila ada press pada majlis yang dihadirinya, Noh boleh kata dia sayang peminat, terima kasih peminat! Tapi, pada hari kejadian, tiada wartawan bertugas, jadi kenapa dia perlu memperlekehkan kami? Noh hipokrit dan tunjuk belang tak tentu pasal!
“Justeru, saya Zee mewakili pelajar wanita dari universiti berkenaan, berharap Noh Hujan meminta maaf secara terbuka kepada pihak kami atas apa yang diucap dan dilakukannya terhadap warga kampus. Mungkin ini adalah kali pertama dan terakhir kami menjemput Noh ke universiti ini,” kata Zee dalam temu bual bersama B*Pop dan kru Melodi TV3


No comments:
Post a Comment