PERKEMBANGAN muzik tanah air kebelakangan ini semakin meriah dengan kehadiran ramai bakat baru. Ada antara mereka yang dicungkil bakat menerusi program realiti dan mengasah kebolehan sebagai penyanyi indie.Apapun status mereka sama ada solo atau berkumpulan, artis tempatan perlu bersatu untuk memacu industri muzik tempatan ke arah pencapaian yang membanggakan.
Dalam kalangan peminat muzik indie khususnya golongan muda, pengaruh yang dibawa band Hujan bagai mencipta fenomena baru terhadap selera muzik semasa. Menerusi lagu popular mereka seperti Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada, Hujan dikenali ramai.
Kumpulan yang ditubuhkan pada penghujung 2005 dianggotai Mohamad Noh Salleh (Noh, vokalis), Mohd Hezry Mohd Hafidz (AG, gitar), Hang Dimas Santosa (Dimas, keyboard), Azham Ahmad (AM,dram) dan Izzat Auburn (bass).
Daripada aspek pencapaian seni, Hujan pernah meraih Anugerah Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik pada majlis Anugerah Industri Muzik ke16 (AIM16). Pencapaian lain, dua tahun lalu Hujan pernah mengadakan persembahan jelajah ke United Kingdom (UK) atas undangan dan tajaan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Kunjungan selama dua minggu itu membabitkan persembahan di empat lokasi, Manchester, Liverpool, Sheffield dan Cardiff. Ia meninggalkan kenangan manis buat mereka.
Hujan bukan saja mempunyai pengikut muzik yang ramai, malah gaya rambut Noh turut menjadi ikutan peminat.
Namun, di sebalik pencapaian Hujan, timbul insiden antara Noh dengan seorang peminat pada satu acara yang berlangsung di institusi pengajian tinggi. Dalam insiden itu, peminat itu tersinggung dengan sikap penyanyi itu yang menulis autograf dengan perkataan, ‘awak busuk’. Ikuti temu bual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Noh yang menjawab lebih lanjut mengenai insiden itu dan bercerita perkembangan aktiviti baru Hujan.
RAP (R): Mungkin ada kalangan peminat masih keliru dan tersinggung insiden Noh dengan peminat baru-baru ini. Apa komen anda?
NOH (N): Ada peminat yang masih bertanya perkara itu kepada saya. Seperti yang pernah saya katakan, saya hanya bergurau ketika itu.
Bagi peminat yang kenal rapat dengan saya, mereka tahu cara saya bergurau. Saya fikir jika peminat itu tidak berpuas hati, lebih baik dia berjumpa saya semula tanpa perlu memperbesarkannya sehingga disiarkan di televisyen.
Saya pelik kenapa peminat itu melakukan tindakan sedemikian. Apa yang jelas, saya bersedia meminta maaf kepadanya jika dia berjumpa saya. Pada hari kejadian, saya dijemput penganjur ke sana dan beranggapan saya mungkin memberi autograf pada buku cenderamata sebagai tanda sokongan pada acara mereka.
Sebaliknya, apabila saya tiba di sana bersama Izzat, saya lihat penganjur mengadakan sesi autograf saya bersama peminat. Saya terkejut dengan situasi itu, tetapi kemudian penganjur menghantar SMS mohon maaf atas insiden itu.
Saya sebenarnya tidak kisah apapun tanggapan peminat terhadap saya, tetapi saya rasa perkara ini perlu diselesaikan dengan cara baik. Mengapa ada media terus menghentam saya tanpa bertanya terlebih dulu.
R: Apakah Hujan sudah cukup popular dalam kalangan peminat?
N: Soal popular saya tidak tahu, tetapi saya melihat perjalanan Hujan selama ini memang ada peningkatan. Ketika ini, AG sudah mempunyai studio sendiri dan Dimas pula membuka kedai cenderamata yang dikenali Morning Rocket.
Dimas berhasrat menjual pelbagai cenderamata Hujan seperti baju-T dan produk band indie lain. Dengan adanya studio sendiri dan kedai cenderamata ini menunjukkan komitmen Hujan makin serius.
Walaupun mempunyai komitmen lain seperti terbabit dalam perniagaan, Hujan masih terus bersatu.
R: Bagaimana hubungan Hujan dengan peminat?
N: Menerusi kelab peminat, Raingers, Hujan sebenarnya sering mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat seperti bermain badminton dan menonton wayang.
Ada peminat lain turut serta selepas rakan mereka mengikuti aktiviti yang kami anjurkan. Pernah sebelum ini, Hujan bersama peminat beramai-ramai meraikan hari jadi rakan AG di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Begitu juga apabila rakan AG, Nadmin Sulaiman meninggal dunia baru-baru ini, saya bersama ahli Raingers lain turut bersedih. Ketika mendapat berita itu, saya mengadakan persembahan bersama Atilia dan kerana bersedih, saya terpaksa menggunakan cermin mata hitam.
Raingers juga bersatu menyampaikan berita itu pada rakan AG di Pulapol yang berkawan karib. Saya terharu dengan sokongan Raingers selama ini.
Ketika ini, Hujan Raingers ada 11,000 ahli dan 25 peminat yang aktif mengikut aktiviti yang kami anjurkan bersama.
Saya sendiri tidak mahu wujud jurang antara Hujan dengan peminat.
Mungkin orang lain beranggapan peminat boleh pijak kepala apabila artis terlalu rapat dengan peminat. Bagaimanapun, saya menilai perhubungan kami ini diibarat seperti keluarga dan rakan.
Saya percaya tanpa peminat yang membeli album kami, Hujan tidak akan ke mana seperti hari ini.
R: Apakah Hujan mempunyai agenda persembahan di luar negara?
N: Sepatutnya Julai ini kami akan mengadakan persembahan di Amerika Syarikat (AS). Namun, ia ditangguhkan mungkin pada November atau Disember.
Sebolehnya, Hujan tidak terlalu berharap untuk ke sana kerana jika tidak jadi, ia tentu kecewa. Apapun, saya berbanyak terima kasih pada pelajar Malaysia di sana yang sanggup kumpul wang membiayai perbelanjaan kami.
Bukan mudah untuk mengadakan persembahan di sana apatah lagi tanpa belanja yang cukup. Bagi Hujan, kami sentiasa mencari peluang untuk mengadakan persembahan di luar negara dan pada kesempatan ini, kami mahu menghiburkan peminat yang terus menyokong perjuangan kami.
Seperti pengalaman kami ketika ke UK beberapa tahun lalu, ia menjadi pengalaman yang cukup bermakna dan mencabar. Mengikut laman sosial, facebook, peminat kami berkembang hingga di UK dan Indonesia.
Sokongan peminat ini membuat Hujan lebih bersemangat meneruskan aktiviti pada masa akan datang.
R: Apa perancangan Hujan selepas ini?
N: Album baru Hujan sudah siap 70 peratus dan dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti. Sebanyak 14 lagu dimuatkan termasuk Kotak Hati menjadi single baru.
Daripada aspek kelainan, album kali ini lebih kepada genre balada manakala ada dua lagu rancak. Bagi Hujan sendiri, kami bermain muzik mengikut mood dan ingin menerokai pengalaman baru.
Seperti album terdahulu, Mencari Konklusi, semua lagu yang ditampilkan lebih ke arah rancak. Dalam album baru ini juga Hujan berasakan ingin mencuba lagu yang lebih relaks seperti balada.
Sebagai penyanyi dan pemuzik, saya beranggapan tidak seharusnya seseorang itu berkarya mengikut cakap orang lain. Saya sendiri menyanyi lagu yang saya suka dan daripada situ, ia mencipta keunikan pada peminat.
Saya percaya penyanyi bertindak mengajar dan berkongsi muzik mereka bersama peminat. Jika peminat itu benarbenar sukakan muzik yang dimainkan, mereka tetap akan menyokong dan menghargainya.
Pada waktu terdekat ini, kami akan mengadakan Konsert Hujan vs Bunkface selama dua hari bermula 10 Julai ini di Life Centre, Kuala Lumpur.
Acara sempena Festival Muzik Kuala Lumpur ini mendapat sokongan Persatuan Warga Cinta Negara (Pencinta).
Saya berharap ramai peminat hadir menyaksikan persembahan ini di mana julung kali Hujan dan Bunkface berkongsi pentas.
Sumber : Rap @ Harianmetro
Posted : Raingers_Safik

No comments:
Post a Comment